KOTA KINABALU: Kira-kira 50,000 pengujung dijangka membanjiri Taman Prince Philip Tanjung Aru di sini bagi menyaksikan sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan dan Ulang Tahun ke-50 Sabah Merdeka dalam Malaysia, pada 16 September.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin, berkata kerajaan negeri membuat perancangan rapi bagi memastikan sambutan Perayaan Hari Malaysia bermula 6 petang itu, berjalan lancar dan meriah.
"Sambutan ini hanya sekali dalam 50 tahun dan akan menjadi kenangan bersejarah dan bermakna untuk kita semua. Oleh itu, saya menyeru semua lapisan masyarakat terutama golongan belia supaya meluangkan masa menyaksikan pelbagai acara hebat yang bakal berlangsung sempena sambutan itu," katanya.


Yahya yang juga pengerusi jawatankuasa induk sambutan itu berkata demikian pada sidang media Sambutan Perayaan 50 Tahun Sabah Maju Jaya Dalam Malaysia di Wisma Pertanian, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual menyempurnakan penutupan rasmi sambutan 50 tahun Sabah dalam Malaysia atau Sambutan Hari Malaysia.

Menurut Yahya, Perdana Menteri juga akan melancarkan duit syiling emas keluaran khas Bank Negara Malaysia sempena 50 tahun Sabah merdeka.

Selain itu, katanya, Perdana Menteri dijadual merasmikan Tanjung Aru Eco Development yang memperincikan pelan pembangunan jangka panjang Pantai Tanjung Aru.
Katanya, pelabur asing termasuk dari China, Hong Kong dan Amerika Syarikat turut dijemput bagi menghadiri upacara pelancaran Tanjung Aru Eco Development.

"Dengan adanya projek Tanjung Aru Eco-Development, landskap dan persekitaran kawasan itu akan berubah menjadi salah satu tarikan baharu bagi pelancong dalam dan luar negeri," katanya.

Yahya berkata pembangunan itu dijangka melonjakkan status kawasan pantai Tanjung Aru sebagai pusat peranginan bertaraf dunia dan bernilai tinggi.

Sementara itu, katanya, pelbagai persembahan kebudayaan akan dipertontonkan pada malam tersebut dengan penglibatan kira-kira 1,500 orang.

Beberapa artis terkemuka tanah air termasuk Jacklyn Victor, Sheila Hamzah, Hafiz, Stacy, Faizal Tahir, Fauziah Gambus, One Nation MC, Azlan Typewriter dan Jimmy Palikat turut akan memeriahkan sambutan, katanya.

Bersempena sambutan Hari Malaysia itu, Yahya berkata pihak penganjur juga telah mendirikan lima rumah tradisi di kawasan itu iaitu Walai Tradisi Ranau, Vinatang Tradisi Rungus, Lansaran Tradisi Murut, Teratak Tradisi Brunei dan Rumah Bajau Saama.

"Kesemua rumah tradisi itu mewakili pelbagai suku kaum di Sabah iaitu Dusun, Rungus, Murut, Brunei dan Bajau," katanya sambil menambah setiap rumah akan mempamerkan kebudayaan masing-masing kepada pengunjung.

Bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, perkhidmatan bas percuma diadakan iaitu di perhentian bas Wisma MUIS dan perhentian bas di hadapan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Sembulan, katanya menambah sebanyak 5,000 tempat letak kenderaan turut disediakan.

"Keretapi Negeri Sabah juga bakal menyediakan tempat duduk secara percuma bagi orang ramai dari daerah Papar dan Beaufort," katanya.

- BERNAMA